Memperkukuh kemahiran seni bacaan Al-Quran melalui Tarannum, Tajwid



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 November. - Masjid Ash-Shaliheen di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan program bertajuk 'Dialog Tarannum Bersama Qari-qari Profesional' pada 7, 14 dan 21 November 2025, bermula dari jam 8.00 hingga 9.45 malam di ruang utama masjid berkenaan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada sesi pembukaan berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, selaku Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara.


Program berkenaan merupakan inisiatif berterusan masjid dalam memperkukuh kemahiran seni bacaan Al-Quran melalui Tarannum dan Tajwid, sejajar dengan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar masyarakat sentiasa mengamalkan dan menghayati pengajaran Al-Quran.


Program dialog berkenaan turut menjemput tujuh qari profesional yang berpengalaman di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk berkongsi ilmu secara langsung dengan para pelajar daripada Program Tarannum dan Tajwid Al-Quran Masjid Ash-Shaliheen Kohort Ke-3 serta para hadirin.


Dialog dibahagikan kepada tiga sesi dengan tema berbeza yang dipandu oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, selaku Moderator. Sesi pertama pada 7 November 2025 mengupas 'Asas dan Teknik Tarannum Yang Berkesan' bersama Awang Haji Mohammad bin Ali dan Awang Haji Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah.


Manakala, sesi kedua pada 14 November 2025 nanti, akan membahaskan 'Gaya dan Suara Dalam Tarannum' dengan kehadiran Awang Haji Muhd. Fikri bin Haji Awang Metussin; dan Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.


Sementara sesi terakhir pada 21 November 2025 pula akan membincangkan 'Penilaian Tarannum Bagi Standard Qari Profesional' dengan tiga qari profesional, iaitu Awang Haji Mahrof bin Haji Chuchu; Awang Haji Mohd. Zainul Ariffin bin Ridhwan Lubis; dan Awang Haji Mohd. Noor bin Haji Ibrahim.


Para peserta dialog turut berpeluang mendengarkan bacaan alunan ayat suci Al-Quran secara bertarannum daripada qari-qari jemputan secara langsung, sekali gus merasai keindahan dan kekhusyukan seni bacaan yang menjadi amalan qari profesional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Sesi perkongsian ilmu yang interaktif berkenaan memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan panduan khusus dalam memperbaiki teknik bacaan mereka.


Masjid Ash-Shaliheen berharap dialog berkenaan menjadi platform terpenting dalam membentuk generasi Qurani yang berilmu, berakhlak mulia, dan bersemangat tinggi dalam memartabatkan Al-Quran sebagai panduan hidup.


Close